Followers

Sunday, June 22, 2008

AQIQAH DAN HUKUMNYA (BHG 4)

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA

(Bilangan 135 Bahagian Keempat)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah


Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370) Ini Kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka pada yang manis, sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka yang manis dan madu."

(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)


Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.

Adapun jika dimasak dengan tidak ada rasa manis seperti dimasak dengan rasa yang masam, maka tidaklah ianya menjadi makruh kerana tidak ada larangan mengenainya.

Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdhal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Adapun pangkal paha kambing di sebelah kanan sunat disedekahkan dalam keadaan mentah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258) Ini kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh puteri Baginda Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha melakukan yang demikian itu dengan sabda Baginda:

Maksudnya: "Timbanglah rambut Husain dan sedekahkan perak dengan seberat timbangan rambutnya itu dan berikan kepada bidan kaki aqiqah."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.

Demikian juga, daging aqiqah itu sunat dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu. (Mughni al-Muhtaj: 4/370) Dengan maksud memiliki itu adalah orang kaya tersebut boleh memakan atau menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah itu haram diberi atau dijual kepada orang kafir.

Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:

Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."

(Hadis riwayat al-Hakim)

Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.

Adapun jika dipecah-pecahkan tulang aqiqah itu, maka tidaklah ianya menjadi makruh akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama (khilaf al-awla). (Al-Majmu‘: 8/322)

Aqiqah Nazar

Apa yang dimaksudkan dengan aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan korban nazar. Iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila ia dinadzarkan, sama ada nadzar itu nadzar yang sebenar (nadzar hakikat) ataupun nadzar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Sesiapa yang bernadzar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya".

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nadzar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nadzar’. Sebagai contoh orang yang beraqiqah itu berkata: "Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai aqiqah", ataupun dia berkata: "Aku bernadzar untuk menyembelih kambing sebagai aqiqah anakku."

Adapun bernadzar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: "Aku jadikan seekor kambing yang aku pegang ini untuk aqiqah anakku", ataupun dia berkata: "Ini adalah aqiqah anakku", maka dianggap sama seperti bernadzar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘yin) binatang tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526)

Oleh itu, menurut Ibnu Hajar bahawa aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar atau ta‘yin itu wajib disedekahkan kesemuanya dengan mentah. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/372) Sementara menurut Khatib Syarbini dan ar-Ramli bahawa tidak wajib disedekahkan kesemuanya dalam keadaan mentah bahkan sunat dimasak. (Nihayah al-Muhtaj: 8/146-147 dan Mughni al-Muhtaj:4/370)

No comments:

Post a Comment