Followers

Tuesday, June 10, 2008

ETIKA PELAKSANAAN HISBAH

ETIKA PELAKSANAAN HISBAH
PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR
(PMRAM)

Etika Hisbah merupakan suatu akta pelaksanaan gerak kerja berdasarkan "Amar Makruf Nahi Mungkar" yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Dengan adanya etika ini, ia memudahkan dan melicinkan lagi gerak kerja "Amar Makruf Nahi Mungkar" secara menyeluruh dan berkesan. Etika ini di bawah kelolaan pihak PMRAM di bawah bidang kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang tubuh PMRAM.

BAHAGIAN SATU
PENGENALAN

FASAL SATU :


1.1 Pengenalan
Penubuhan Hisbah ini adalah merupakan suatu gerak kerja untuk menegakkan perkara-perkara makruf dan mencegah kemungkaran yang disyarakkan oleh Islam. Ini dibuktikan oleh al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Ada di kalangan mereka yang beriman namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. ”.

Dari sudut perbahasan ulama tentang pengertian Hisbah, Al-Imam Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyyah wa Al-Wilayah Al-Diniyyah yang menyatakan bahawa:

Hisbah ialah menegakkan yang makruf apabila ia ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ia dilakukan secara terang-terangan pula.

Ini merupakan pengenalan secara ringkas mengenai Hisbah dan pensyariatannya berdasarkan dalil Al-Quran dan pendapat ulama mengenainya.

1.2 Pelaksanaan
Dilaksanakan oleh Unit Hisbah PMRAM.

1.3 Objektif
(a) Bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan maksiat yang berlaku di kalangan ahli PMRAM khususnya dan warganegara Malaysia di Mesir umumnya.
(b) Bertanggungjawab terhadap permasalahan sosial yang berlaku.
(c) Bertanggungjawab berkaitan dengan keselamatan ahli PMRAM khususnya dan pelajar Malaysia di Mesir umumnya.
(d) Memastikan hak hamba dengan Allah dalam perkara-perkara fardu dan hak sesama manusia terlaksana.

1.4 Sasaran
(a) Ahli PMRAM
(b) Semua pelajar Malaysia yang bermastautin di Mesir.
(c) Warganegara Malaysia yang berada di bumi Mesir.

1.5 Sumber rujukan:
(a) Al-Quran.
(b) As-Sunnah.
(c) Kitab-kitab Feqh.

BAHAGIAN DUA
LARANGAN KELUAR MALAM DAN KHIDMAT MUSYRIF

FASAL DUA: Had Masa
2.1 Mahasiswi tidak dibenarkan berada di luar rumah pada waktu malam kecuali bersama musyrif.


2.2 Mahasiswi hendaklah berada di rumah 10 minit sebelum maghrib.

FASAL TIGA: Urusan Penting
3.1 Mahasiswi tidak dibenarkan berada di luar rumah ketika waktu malam kecuali mempunyai urusan yang penting atau dharuri.


3.2 Setiap urusan tersebut hendaklah ditemani oleh musyrif ketika berada di luar rumah atau di bawah makluman AJKT BKAN, DPM atau BP PMRAM.


3.3 Setiap urusan hendaklah ditemani oleh musyrif bersama rakan (mahasiswi) dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah yang membawa kepada khalwat.

FASAL EMPAT: Khidmat Musyrif
4.1 Khidmat musyrif hendaklah diwajibkan ketika membuat urusan di luar tempat penginapan pada waktu malam atau jarak yang jauh.


4.2 Khidmat musyrif juga diwajibkan ke tempat-tempat yang dirasai perlu.


4.3 Sebarang khidmat musyrif hendaklah dirujuk atau di bawah pengetahuan AJKT BKAN.

FASAL LIMA: Peranan Musyrif
5.1 Musyrif hendaklah memastikan keselamatan mahasiswi dalam keadaan terjamin.


5.2 Musyrif hendaklah memastikan tidak berlaku atau timbul sebarang fitnah ketika khidmat permusyrifan diberi.


5.3 Bilangan musyrif hendaklah ditentukan berdasarkan keperluan untuk menjamin keselamatan pihak musyrif dan siswi.


5.4 Sebarang hubungan atau muamalat ketika khidmat musyrif diberikan hendaklah berlandaskan syarak.

BAHAGIAN TIGA
MUAMALAT DAN ZIARAH

FASAL ENAM: Larangan Berkhalwat Dan Tafsirannya
6.1 Khalwat bererti: Seorang lelaki yang berada bersama-sama seorang wanita ajnabi di dalam suatu tempat dengan ketiadaan suami kepada wanita tersebut atau mahramnya yang mukallaf.


6.2 Dua orang mahasiswa bersama seorang mahasiswi atau dua orang mahasiswa bersama dua orang mahasiswi adalah diistilahkan sebagai khalwat.


6.3 Berkhalwat dengan bukan mahram adalah dilarang sama sekali.

FASAL TUJUH: Peraturan Menetap di Rumah Mutazawwijin
7.1 Mahasiswa dan mahasiswi tidak dibenarkan menetap bersama mutazawwijin melebihi tempoh 2 hari.

FASAL LAPAN: Ziarah
8.1 Mahasiswa tidak dibenarkan sama sekali menghadiri atau menziarahi rumah mahasiswi kecuali majlis yang diizinkan oleh AJKT BKAN atau DPM atau UBM BKAN atau dan majlis tersebut mesti dihadiri oleh pasangan mutazawwijin.


8.2 Mahasiswi tidak digalakkan menziarahi kawasan atau muhafazah mahasiswa tanpa pengetahuan AJKT DPM muhafazah tersebut kecuali disebabkan oleh perkara-perkara yang penting sahaja.


8.3 Mahasiswi dilarang menziarahi rumah masyarakat Arab kecuali apabila menepati syarat-syarat berikut:


(a) Orang Arab yang sudah dikenali (contoh: guru atau rakan sekuliah)
(b) Pergi secara berkumpulan (sekurang-kurangnya dua atau tiga orang).
(c) Di bawah makluman AJKT BKAN dan DPM.

FASAL SEMBILAN: Rehlah
9.1 Sebarang rehlah melebihi dua marhalah atau memakan masa melebihi setengah hari, hendaklah rehlah tersebut tidak bercampur di antara mahasiswa dan mahasiswi.


9.2 Sebarang rehlah Mahasiswi hendaklah hendaklah ditemani oleh musyrif atau pasangan mutazawwij atau kedua-duanya sekali.


9.3 Tidak dibenarkan sebarang rehlah dibuat ke tempat-tempat yang dilarang.

BAHAGIAN KETIGA
IKHTILAT



FASAL SEPULUH: Ikhtilat Yang Tidak Dibenarkan
10.1 Ikhtilat bererti: Perhimpunan yang melibatkan bilangan beberapa orang lelaki bersama-sama wanita dalam suatu tempat. Ikhtilat yang tidak dibenarkan ialah ikhtilat yang melanggari syarak.


10.2 Pasangan yang membuat perjumpaan tanpa dihadiri mahram atau wakil bait muslim.


10.3 Mahasiswa mengunjungi rumah mahasiswi atau sebaliknya tanpa mahram atau bukan kebenaran UBM.


10.4 Membuat hubungan samada dalam bentuk perbualan atau bertulis seperti chating secara langsung atau tidak langsung adalah dilarang, jika hubungan tersebut melampaui batas atau had yang diletakkan oleh syarak.


10.5 Mahasiswa atau mahasiswi berada dalam keadaan bercampur dan tidak ada batas pemisahan syarak antara mereka dalam sesuatu majlis.


10.6 Semasa berikhtilat hendaklah berpakaian yang sesuai serta sopan, yang tidak menimbulkan fitnah.

BAHAGIAN KEEMPAT
AKHLAK



FASAL SEBELAS: Etika Pakaian
11.1 Pemakaian setiap mahasiswa dan mahasiswi hendaklah berlandaskan syarak dan bersopan seperti menutup aurat dan lain-lain lagi.


11.2 Pemakaian mahasiswa hendak tidak merupai seakan perempuan dan begitu sebaliknya bagi mahasiswi.

FASAL DUA BELAS: Akhlak & Tingkahlaku
12.1 Sebarang akhlak atau tingkahlaku yang membawa kepada pertentangan dengan syarak yang boleh diistilahkan sebagai maksiat kepada Allah adalah dilarang sama sekali.


12.2 Dilarang sama sekali mahasiswa menyerupai seakan-akan tingkahlaku perempuan dan mahasiswi sebaliknya.


12.3 Sebarang penontonan atau simpanan gambar lucah adalah dilarang sama sekali.


12.4 Sebarang penyataan samada berbentuk lisan atau tulisan yang menghina Islam akan dikenakan tindakan.


12.5 Sebarang program atau majlis yang tidak berlandaskan syarak, adalah tidak dibenarkan sama sekali.


12.6 Sebarang perbuatan yang tidak menjaga keharmonian sesama manusia adalah dilarang.

BAHAGIAN KELIMA
TINDAKAN APABILA MELANGGARI ETIKA DAN PROSEDUR



FASAL TIGA BELAS: Tindakan Disiplin
13.1 Apabila didapati mana-mana ahli PMRAM khususnya dan warganegara Malaysia yang menetap di Mesir umumnya, melanggari sebarang etika PMRAM, Bait Muslim dan Hisbah PMRAM, akan dikenakan tindakan disiplin secara langsung oleh pihak Hisbah PMRAM.

FASAL EMPAT BELAS: Bentuk Tindakan
14.1 Memberi kaunseling dan nasihat.


14.2 Takzir.


14.3 Bentuk tindakan disiplin adalah tertakluk di bawah budi bicara atau keputusan pihak UBM,Hisbah dan BP PMRAM berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

BAHAGIAN KEENAM
KHAS



FASAL 15: Pindaan Etika
15.1 Sebarang etika atau peraturan yang tidak lagi bersesuaian atau perlu penambahan, bolehlah dipinda atau ditambah pada bahagian yang difikirkan perlu setelah mendapat persetujuan pihak Hisbah PMRAM.


TAMAT


Unit Bait Muslim Mansurah
Rujukan;
Hisbah PMRAM
posted by Malaysia2Egypt : Colourfull Trips @ Sunday, April 27, 2008

No comments:

Post a Comment