Apa itu kembung perut (Colic)?
Kembung perut biasanya dikaitkan dengan bayi yang menangis disebabkan oleh sakit perut.
Diagnosa ditentukan berdasarkan ciri-ciri berikut:
* Bayi menangis berterusan atau kerap menangis buat masa yang lama tanpa sebab-sebab yang jelas.
* Masalah ini berlarutan selama 2-4 jam sehari untuk sekurang-kurangnya 5 hari seminggu dan selalunya bermula pada umur bayi 2-3 minggu dan beransur kurang/pulih apabila bayi mencapai umur 3-4 bulan.
Mengapakah sesetengah bayi mengalami kembung perut?
Sebab tidak diketahui. Beberapa teori termasuk :
1. Usus :
* Alah kepada protein susu lembu.
* Alah kepada laktosa.
* Usus belum matang. Pencernaan karbohidrat yang tidak sempurna akan menyebabkan kembung dengan "angin" yang berlebihan.
* Ketidakselesaan disebabkan "angin".
2. Biologi :
* Cara menyusu : kurang atau lebih menyusu dan kurang sendawakan bayi.
* Terdedah kepada asap rokok. Ibu yang merokok sewaktu mengandung atau di dalam pantang akan menyebabkan bayi berisiko tinggi untuk kembung perut.
3. Psikososial
* Ibu bapa yang tertekan.
4. Lain-lain
* Sistem saraf bayi yang belum matang menyebabkan ia lebih sensitif kepada faktor persekitaran.
Adakah ramai bayi yang mengalami masalah ini?
Dianggarkan 1 hingga 5 dalam 10 bayi mengalami kembung perut.
Apakah tanda-tanda bayi anda mengalami kembung perut?
Bayi akan selalunya :
* Menangis sekuat hati dalam jangka masa yang lama.
* Di ikuti menarik kedua belah kaki ditarik ke perut dan tangan dikepal.
* Tidak selalunya berkait dengan perut buncit, muntah, demam atau tanda- tanda penyakit yang lain
Adakah kembung perut akan menyebabkan masalah serius yang lain?
* Kebiasaannya bayi akan sihat dan boleh membesar dengan baik.
* Bagaimanapun, masalah ini mungkin boleh menyebabkan tekanan perasaan dan kebimbangan di kalangan ahli keluarga.
* Ibu bapa merasa kecewa dan risau melihat keadaan bayinya.
Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
* Tiada rawatan yang khusus. Keadaan ini akan pulih dengan sendiri apabila bayi berumur 3-4 bulan.
* Jika anak anda kembung perut :
1. Elakkan terlalu kerap mengangkat bayi ketika ia merengek.
2. Selimutkan bayi sehingga selesa dan dodoikan dengan lemah lembut
3. Kurangkan bunyi bising
4. Bawa bayi anda bersiar-siar
5. JANGAN SEKALI-KALI MENGGONCANG BAYI ANDA
6. Jika ibu bapa merasa tertekan atau penat, cuba dapatkan bantuan orang lain untuk menjaga bayi dan ambil rehat yang secukupnya.
Dapatkan nasihat doktor jika :
* Tangisan bayi anda seperti di dalam kesakitan.
* Ada masalah lain seperti muntah, perut buncit, cirit-birit atau sembelit.
* Bayi anda demam
* Ibu bapa terlalu bimbang atau penat dan tidak boleh menangani masalah ini sendiri.
Apakah ubat yang boleh membantu?
* Tiada ubat yang berkesan untuk meredakan kembung perut.
* Anda boleh mencuba ubat untuk "angin" atau "colic" dan sejenis ubat bernama "dimethicone" untuk mengurangkan rasa kembung.
Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
Jika bayi anda menghisap susu botol:
* Amalkan teknik penyusuan yang betul, pastikan saiz puting yang sesuai dan sendawakan bayi anda di antara penyusuan.
* Cuba tukar susu contohnya susu soya selepas merujuk kepada doktor anda.
Jika bayi menyusu badan :
* Teruskan penyusuan susu ibu, tetapi ibu perlu mengelakkan makanan tertentu seperti kobis, broccoli, bunga kobis, kafein dan makanan yang dibuat dari susu lembu.
Peringatan
* Kembung perut (colic) adalah masalah yang mencabar tetapi ia tidak menimbulkan kesan bahaya kepada bayi pada masa akan datang. Diagnosa yang tepat adalah penting.
* Dapatkan nasihat doktor jika:
o Diagnosa tidak dapat dipastikan
o Adanya tanda-tanda penyakit serius yang lain.
No comments:
Post a Comment