Followers

Tuesday, April 07, 2009

KESIHATAN BAYI: Neonatal Jaundice (Kekuningan)

Kekuningan Pada Bayi Baru Lahir (Neonatal Jaundice)

Apa itu jaundis?
Apa itu bilirubin?
Adakah sering terjadi jaundis pada bayi?
Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya?
Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?
Haruskah saya bimbang jika anak saya jaundis?
Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?
Apakah yang doktor akan lakukan?
Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?
Bagaimanakah cara menangani masalah jaundis?
Pencegahan jaundis?
Apakah yang perlu dilakukan kepada bayi yang mengalami jaundis yang teruk?
Apendiks


Apa itu jaundis?

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah. Jaundis pada bayi adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

Apa itu bilirubin?

Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan dari pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.

Adakah sering terjadi jaundis di kalangan bayi?

Jaundis sering berlaku pada bayi. 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya?

1. Fisiologi jaundis

Merupakan jaundis yang paling sering terjadi pada bayi dan tidak merbahaya. Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.

2. Patologi jaundis

Jaundis jenis ini bermula dalam masa dua hari selepas lahir. Ini disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah yang berlebihan akibat:

* Ketidakserasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah 'O').

* G6PD defisiensi pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Bagaimanapun tidak lebih dari 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir. (Rujuk senarai makanan,ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap G6PD defisiensi ). (Rujuk senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap G6PD defisiensi)

* Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang. Ianya disebabkan oleh:

* Penyusuan susu ibu sepenuhnya ( breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak membahaya pada bayi selagi ibu tidak megambil ubat-ubatan tradisional.

* Penyekatan aliran hempedu dari hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun kes ini jarang terjadi.

* Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, seorang dari 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

Haruskah saya bimbang jika anak saya jaundis?

Bayi anda mungkin sihat jika :

* Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.

* Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.

* Bayi anda sihat dan aktif.


Walau bagaimanapun sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.

Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :

* Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.

* Peningkatan kekuningan yang cepat

* Bayi anda mengalami G6PD defisiensi

* Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk

* Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu

* Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat


Apakah yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.

Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?

Kadar indirect bilirubin yang tinggi pada bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya sehingga menyebabkan:

* Gangguan pendengaran dimana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.

* Kerosakan otak yang teruk (kernicterus)


Oleh itu intervensi awal perlu bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.

Apakah rawatan yang diberikan?

Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:

1. Rawatan foto

Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.

Rawatan foto pada bayi yang mengalami jaundis.

Nota: jangan dedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus kerana ini membahayakan bayi anda.

2. Pertukaran darah.

Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.


Pencegahan jaundis

Adalah penting untuk kita mengesan dan memantau bayi yang berisiko tinggi untuk terjadi jaundis yang teruk.

Tindakan awal mengesan jaundis dapat memastikan rawatan yang sesuai dan mengurangkan komplikasi.

Apakah yang perlu dilakukan kepada bayi yang mengalami jaundis yang teruk?

Semua bayi dengan kadar bilirubin lebih 20 mg/dL harus mendapat rawatan lanjut diklinik pakar kanak-kanak bagi memantau perkembangan dan pendengaran.

Sekiranya terjadi kerosakan otak akibat jaundis teruk, kanak-kanak tersebut harus dirujuk kepada sekumpulan pakar untuk pemulihan.

Apendiks

Senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh pengidap G6PD defisiensi:

* Makanan : kacang parang

* Herba cina yang tertentu

* Ubat-ubatan(rujuk doktor untuk senarai yang lengkap)

o Antibiotik seperti sulfamethozazol, nalidiixic acid

* Bahan kimia

o Ubat gegat (jangan gunakan pada pakaian.)

No comments:

Post a Comment