Followers

Monday, January 10, 2011

Jika Si Kecil Demam





Ibu terutama yang memiliki bayi kecil  pastinya panik jika suhu badan anak naik mendadak melebihi suhu normal iaitu 37 darjah Celsius (suhu demam jika melebihi 37.5 Celsius). Tapi perlu diingatkan bahawa demam adalah mekanisme pertahanan tubuh si kecil terhadap serangan bakteria dan virus.
Justeru, usah bingung jika si kecil anda demam, tapi masih aktif bermain, mahu makan dan minum. Seeloknya, biarkan saja tubuhnya bekerja secara normal tanpa memberikannya ubat penurun suhu.

Tapi ibu-ibu perlu berwaspada jika suhu badan si kecil naik mendadak menjadi 38 darjah Celsius atau lebih, atau meningkat terus di dalam beberapa jam kerana dikhuatiri akan berlaku jangkitan yang lebih teruk dan tubuh tidak dapat mengatasinya tanpa bantuan ubat-ubatan.

Teringat ketika kecil dulu, jika demam badan akan menggigil kesejukan, sendi dan urat saraf terasa lenguh, dan baju sejuk juga selimut tebal pasti menjadi teman dengan harapan demam cepat reda.
Tapi tahukah anda bahawa badan kita mempunyai dua jenis suhu iaitu suhu permukaan kulit dan suhu dalam badan. Untuk kekal sihat dan normal, kedua-dua suhu ini harus seimbang.

Apabila demam, suhu permukaan kulit akan bertambah, manakala suhu di dalam badan akan turun justeru perkara pertama yang harus anda lakukan terhadap bayi kecil jika dia demam adalah dengan memakaikan baju yang tipis, nyaman dan menyerap peluh. Hindari baju tebal atau selimut tebal sama sekali.

Berikan susu lebih kerap dan jika usianya sudah meningkat, boleh ditambah air putih, sup ayam, sup sayur atau jus buah bagi mencegah terjadinya dehidrasi akibat suhu badan yang meningkat.

Tempatkan si kecil di ruang yang memiliki peredaran udara yang baik. Jika bayi mulai tidak selesa dan merengek kerana badannya panas, lucutkan pakaiannya dan kemudian lapkan tubuh dengan menggunakan kain yang dibasahi air hangat.
Jika perlu, mandikan bayi dengan air dan elakkan menggunakan air dingin kerana ia akan membuatkan bayi tambah lesu.

Maklumat menarik yang saya baca di Internet adalah kaedah dukungan kanggaru atau baby wearing dikatakan mampu menurunkan suhu tinggi anak hasil sentuhan kulit dengan ibu yang bersuhu normal.

Penulis simpulkan sentuhan penuh kasih sayang daripada ibu sebenarnya mempunyai kesan dari sudut psikologi dan ibu sekalian, apa kata jika anda cari kain batik yang sudah lama terbiar dan cuba kaedah kendongan bagi melihat kesan kendongan terhadap bayi anda yang sedang demam.

INFO: Petua mudah merawat bayi yang demam

Selain ubat diberikan doktor, ibu bapa juga boleh mencuba kaedah diamalkan orang lama bagi meredakan demam si kecil.

# Mengurangkan panas badan dengan air asam jawa

Ambil sebuku asam jawa, ramas dengan sedikit air. Setelah pekat, sapukan air ramasan asam jawa pada ubun-ubun dan seluruh kepala. Biarkan sehingga lumuran tadi kering di kepala. Anda akan dapati, panas badan bayi akan berkurangan. Buat beberapa kali dalam sehari.

# Mengurangkan panas badan dengan beras pulut

Ambil segenggam beras pulut dan digoreng tanpa minyak seperti anda membuat kerisik. Goreng sehingga beras pulut tadi berwarna kekuningan.

Kemudian ambil sedikit beras pulut yang telah digoreng tadi dan campurkan dengan secawan air panas. Tunggu air tadi suam dan ditapis. Beri bayi anda minum air itu. Lebihan beras tadi boleh dicampur ke dalam air panas dan dibuat mandian.







2 comments:

  1. lagi info tentang bayi demam di SIHAT SELALU - FAQ Tentang Bayi Demam

    ReplyDelete
  2. Great post! Blogging is actually a work and I like very much your blogging work... crf6adv.com

    ReplyDelete