Followers

Sunday, June 22, 2008

AQIQAH DAN HUKUMNYA (BHG 5)

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA

(Bilangan 135 Bahagian Kelima)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

BILANGAN BINATANG YANG HENDAK DISEMBELIH

Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan, memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Ummi Kurz al-Ka‘biyyah katanya:

Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu Daud)

Antara sebab aqiqah untuk anak lelaki itu sebanyak dua ekor kambing adalah kerana menunjukkan tanda syukur dan kegembiraan atas kelahiran anak tersebut dan kegembiraan atas kelahiran anak lelaki itu lebih tinggi, maka oleh itu sembelihannya lebih banyak. (Al-Majmu‘: 8/318)

Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan menyembelih tujuh ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau, kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau. (Al-Majmu‘:8/290 dan 321)

Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, adalah lebih afdhal lagi dan dituntut supaya dia melakukan aqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor kambing atau dengan seekor unta atau lembu.

MEMADAI DENGAN SEEKOR KAMBING

Jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya dengan dua ekor kambing, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh daripada seekor unta, kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda dengan menyembelih seekor kambing. Sebagaimana hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dengan seekor kambing."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

SEEKOR KAMBING UNTUK DUA ORANG ANAK

Jika seseorang itu mempunyai dua orang anak, lalu dibuatkan aqiqah untuk mereka dengan berkongsi seekor kambing adalah tidak sah aqiqah tersebut. Ini kerana seekor kambing itu hanya memadai dengan seorang sahaja melainkan unta atau lembu, kerana ianya boleh dikongsikan sehingga tujuh bahagian. Sebagai contoh, seekor unta atau lembu disembelih untuk dikongsikan bagi tujuh orang kanak-kanak.

Seekor unta atau lembu itu juga, dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua daging itu khusus untuk aqiqah atau pada sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun untuk daging korban, asalkan pembahagiannya itu bertepatan iaitu setiap seekor unta atau lembu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.


BILANGAN BINATANG BAGI ANAK YANG KHUNTSA

Bagi anak khuntsa (anak yang tidak diketahui jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan), para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah yang hendak disembelih untuknya.

Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsa sama seperti anak perempuan iaitu memadai disembelih dengan seekor kambing sahaja. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371) Manakala Imam ar-Ramli mengatakan bahawa bagi anak yang khuntsa sunat disembelih dua ekor kambing sama seperti anak lelaki atas jalan berhati-hati (ihtiyathan). (Nihayath al-Muhtaj: 8/149)

CARA MENYEMBELIH BINATANG AQIQAH

Cara penyembelihan binatang aqiqah itu sama keadaannya dengan penyembelihan binatang korban, demikian juga perkara-perkara yang disunatkan serta adab-adabnya ketika penyembelihan itu dijalankan.

Menyembelih binatang aqiqah itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari’ sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari’ itu pula ialah tempat laluan makanan dan minuman yang terletak di bawah halqum.

Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari’ itu. Jika ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari’ itu (belum putus) dan mati binatang tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu padahal halqum atau mari’ belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari’ yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh dimakan).

Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan mari’nya, dan menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya ketika disembelih.

Ketika hendak menyembelih binatang aqiqah, sunat dibaca seperti berikut:

Ertinya: "Dengan nama Allah Maha Besar (kerajaanNya). Ya Allah, mohon kurniakan selawat, rahmat dan kebesaran kepada Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Ya Allah, ini aqiqah si Polan."

Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari’, kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).

Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)

3 comments:

  1. saya ada seorg anak lelaki berusia hampir setahun..maka bolehla saya buat AQIQAH untuk seekor kambing kan ? harga seekor kambing sekarang sudah mahal..jika mampu baru 2 ekor..tolong betulkan pemahaman saya klu salah yek..

    ReplyDelete
  2. buat puan azma.... bertepatan dengan apa yang telah dilakukan oleh rasulullah s.a.w.. seekor kambing bagi mereka yang kurang kemampuan adalah dibolehkan... bagi mereka yang memiliki kemampuan... afdhalnya dua ekor kambing bagi seorang kanak-kanak lelaki dan seekor kambing bagi kanak-kanak perempuan. Sesungguhnya agama Islam itu adalah agama yang memudahkan, jangan pula kita memayahkan.. yang penting kita bersyukur dengan nikmat pemberian tuhan. Insyaallah berkat dunia dan akhirat

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.. saya ada persoalan..
    1.kenapa kambing lebih afdhal u aqiqah?
    2. adakah kambing/kibas yang di korbankan oleh habil dengan kambing yang Allah gantikan kepada ibrahim untuk disembelih yang menggantikan ismail adalah kambing yang sama?
    3. adakah kambing mulia d sisi Allah?
    4. kenapa kambing habil itu tidak tergolong di antara haiwan terawal yang masuk ke syurga?
    kalau boleh saya nak dalil dr hadis / quran / sumber yang sahih

    ReplyDelete