Followers

Thursday, February 11, 2010

PEMAKANAN: Garis Panduan Pemakanan Bagi Kanak-Kanak Yang Kekurangan Berat Badan

Pengenalan

Kekurangan berat badan tidak bermaksud kurus ataupun langsing. Sesetengah kanak-kanak, secara semulajadi, bertubuh agak besar dan mengekalkannya dengan mengamalkan diet yang seimbang serta melakukan aktiviti fizikal. Ini adalah sihat dan normal.
Manakala sesetengah kanak-kanak pula, secara semulajadinya bertubuh kecil, namun mereka bukanlah kekurangan berat badan. Walau bagaimana pun, kekurangan berat badan yang sebenar mungkin petanda kepada masalah pemakanan, kesihatan atau emosi.


Bagaimana untuk mengetahui jika anak saya mengalami kekurangan berat badan?

* Pertumbuhan adalah petunjuk yang baik bagi status pemakanan seseorang kanak-kanak. Pertumbuhan kanak-kanak dinilai oleh anggota kesihatan untuk mengetahui sama ada kanak-kanak tersebut mengikuti corak pertumbuhannya.

* Pertumbuhan kanak-kanak boleh diawasi dengan menimbang berat badan dan mengukur ketinggiannya serta membuat perbandingan dengan rujukan standard. Ini boleh dilakukan dengan memplot nilai berat badan dan ketinggian kanak-kanak pada carta berat badan dan ketinggian mengikut jantina.

* Anggota kesihatan akan menimbang berat dan mengukur ketinggian seseorang kanak-kanak untuk menentukan samada ia berada dalam lingkungan yang sihat. Umur dan corak pertumbuhan kanak-kanak juga akan diambil kira bagi menentukan sama ada mereka mengalami berat badan yang berlebihan. Kekurangan berat badan di kalangan kanak-kanak adalah sukar untuk ditafsirkan kerana tumbesaran mereka tidak boleh dijangka.
Apakah perkara-perkara yang perlu diambil kira bagi kanak-kanak yang mengalami kekurangan berat badan?

* Seorang anak yang kekurangan zat makanan lebih cenderung untuk mendapat jangkitan. Dia mungkin berasa lemah dan letih serta menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian.

* Anak tersebut mungkin mengalami pertumbuhan terbantut atau permulaan akil baligh yang agak lewat.

* Dalam sebarang keadaan pun, adalah mustahak untuk berunding dengan doktor untuk mengenal pasti masalah dan bagaimana untuk mengatasinya.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan masalah kekurangan berat badan. Ini termasuk:

1. Tidak makan secukupnya mengikut keperluan harian yang disarankan. Pengurangan pengambilan makanan harian biasanya berlaku lebih awal iaitu mungkin beberapa minggu atau bulan sebelumnya.
2. Penyakit seperti jangkitan cacing.
3. Tekanan.
4. Senaman yang berlebihan
5. Kurang berminat untuk makan. Ini mungkin tanda-tanda kemurungan, alahan pemakanan yang menyebabkan ketidakselesaan selepas makan, kandungan kafein yang tinggi, terlalu risau akan mengalami berlebihan berat badan ataupun penyakit berkaitan pemakanan.
6. Peningkatan kadar pertumbuhan yang mendadak.

Apakah yang boleh saya lakukan untuk membantu anak yang mengalami kekurangan berat badan?

Jika doktor menyarankan pertambahan berat badan, objektif utama adalah untuk:

1. Menggalakkan anak mengambil kalori yang lebih. Mulakan dengan merancang hidangan dan snek yang berkalori tinggi mengikut setiap kumpulan makanan daripada Panduan Piramid Makanan Malaysia.

2. Adalah penting bagi anak anda mengambil protein, karbohidrat serta lemak dengan secukupnya bagi membekalkan tenaga untuk aktiviti, tumbesaran dan perkembangan.

3. Galakkan aktiviti fizikal sebagai rutin harian Sekiranya anak anda aktif bermain, pastikan dia berehat sekurang-kurangnya 15 minit sebelum waktu makan.

4. Elakkan memberi anak makan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula, minuman ringan ataupun makanan tinggi kandungan lemak dari kedai makanan segera.

5. Hadkan pengambilan snek sebelum waktu makan kerana amalan ini akan mengurangkan selera makan.

6. Elakkan pengambilan kafein, galakkan minuman berkhasiat seperti jus dan susu.

7. Pilih makanan yang digemari oleh anak anda.

Apakah yang patut anak saya makan?

Oleh kerana makanan kurang diambil, ibu bapa atau penjaga harus memberi makanan berkalori tinggi. Apabila menyediakan makanan, utamakan sumber lemak tambahan yang sihat seperti minyak sayuran sebagai pengganti mentega atau marjerin.

Contoh penyediaan makanan berkalori tinggi:


Nasi / bubur = Ditambah ayam / daging / minyak / marjerin


Roti = Ditambah marjerin / mentega kacang / keju


Biskut kraker = Ditambah marjerin / mentega kacang / keju


Susu = Ditambah serbuk coklat / aiskrim


Telur = Ditambah susu / minyak / marjerin / keju


Kentang – dilenyek / dibakar = Ditambah susu /minyak / marjerin
Berapa banyakkah harus anak saya makan?

1. Galakkan anak makan dengan kerap. Enam hidangan kecil mungkin lebih mudah dimakan berbanding tiga hidangan utama. Anak anda harus makan sebanyak yang boleh tanpa merasa tidak selesa. Jangan paksa dia makan.

2. Berikan pelbagai jenis makanan dan snek kepada anak anda sepanjang hari.

3. Jika anak ke sekolah, bekalkan dia makanan snek sihat seperti biskut kraker, buah-buahan kering (seperti kismis), lobak merah dan kacang.

4. Pada mulanya, anak anda mungkin tidak biasa makan banyak. Berikan galakkan walaupun terdapat sedikit perubahan. Anda perlu faham bahawa perubahan perlu mengambil masa. Banyakkan bersabar.
Bagaimana saya boleh bantu anak saya rasa positif tentang imej dirinya?

* Perlu diingat bahawa setiap anak adalah unik dan begitu juga bentuk badannya. Kanak-kanak berbeza dari segi saiz, bentuk dan ketinggian. Mereka juga membesar pada kadar berbeza. Walau bagaimanapun, yang penting, anak anda sihat.

* Jangan timbang anak anda terlalu kerap. Rumah sepatutnya tempat yang selesa dan tidak rasa terasing oleh kanak-kanak. Doktor mungkin mengesyorkan lawatan ke klinik yang kerap untuk memantau perkembangan anak anda. Gunakan kesempatan ini untuk memperoleh maklumat mengenai berat badan anak anda. Selain itu, tumpukan perbincangan mengenai berat badan.

* Berat badan sihat adalah berat yang boleh dikekalkan secara sihat dengan memastikan kanak-kanak cukup zat, aktif dan mempunyai perasaan yang positf terhadap tubuh badan dan saiz mereka.

Contoh menu
Hidangan Nasi Tomato (Hidangan 4 orang)

Bahan-bahan
90g (1/2 cawan) beras
1 sudu makan marjerin
30ml (2 sudu makan) puri tomato
125ml (1/2 cawan) jus tomato
125ml (1/2 cawan) air
5g (1/2 sudu makan) minyak sayuran
10g (2 ulas) bawang putih, ditumbuk
10g (2 cm) halia, dihancurkan
60g (1 biji) bawang besar, dihiris
100g (2 biji) tomato, dipotong dadu
125g (1/2 cawan) daging yang empuk ( contoh: striploin), dihiris nipis
Garam, gula dan lada sulah secukup rasa

Cara memasak
1. Di dalam periuk nasi elektrik, tanakkan beras bersama puri tomato, ¼ jus tomato dan air. Tambah 1 sudu makan marjerin.
2. Sementara itu, tumis bawang putih, halia dan bawang besar dalam kuali berasingan. Masukkan tomato yang dipotong dadu serta baki jus tomato. Tambah hirisan daging dan masak hingga empuk. Tambah lebih air, jika perlu. (Untuk kanak-kanak kecil, gunakan daging cincang atau ayam)
3. Tutup api dan letakkan berasingan.
4. Sendukkan nasi ke dalam acuan jeli berbentuk bulat. Buat satu lekuk di tengah-tengah nasi dan letakkan daging yang telah ditumis ke dalam lekuk tersebut.
5. Terlungkupkan nasi tomato beserta daging ke atas pinggan dan hidangkan.

Kandungan nutrisi setiap hidangan
Kalori (kkal) : 173.0
Protein (g) : 10.0
Zat Besi (mg) : 3.5
Lemak (g) : 2.0
Kalsium (mg) : 25.01 - 3 Tahun

Contoh Menu Makanan Berkalori Tinggi Bagi Kanak-Kanak Berusia 1 - 3 Tahun

Sarapan
1 gelas susu (penuh krim)
1 keping roti bakar
2 sudu kecil marjerin

Minum Pagi
½ potong betik
2 keping biskut
1 gelas minuman bersusu
Makan Malam
1 cawan mi goreng (tambahkan 1 ½ sudu makan minyak masak / marjerin)
2 ketul ayam (saiz kotak mancis)
½ cawan sayur
1 gelas air kosong
½ potong betik
Makan Tengahari
1 cawan nasi (tambah 1 ½ sudu makan minyak masak / marjerin)
1 ekor ikan kembong
1 cawan sayur bayam
1 gelas air kosong
1 biji pisang

Makan Lewat Malam
1 gelas susu (penuh krim)

Contoh Menu Makanan Berkalori Tinggi Bagi Kanak-Kanak Berusia 4 – 6 Tahun

Sarapan
1 gelas susu (penuh krim)
1/ 2 cawan nasi goreng (tambahkan 1 ½ sudu makan minyak masak / marjerin)
½ cawan sayur
1 telur goreng

Minum Petang
1 ketul karipap
1 keping roti
1 gelas minuman bersusu

Minum Pagi
2 keping biskut kraker
1 sudu makan marjerin
1 gelas minuman bersusu
Makan Malam
1 cawan nasi (tambahkan 1 ½ sudu makan minyak masak / marjerin)
2 ketul ayam (saiz kotak mancis)
1 cawan sayur
1 gelas air kosong
1 biji epal

Makan Tengahari
1 cawan nasi (tambahkan 1 ½ sudu makan minyak masak / marjerin)
½ ekor ikan bersaiz sederhana
1 cawan sayur
1 gelas air kosong
1 biji pisang


Sumber Rujukan
* The Total Child * Healthy Food for Babies & Toddlers, Patsy Westcott * Healthy Foods, Healthy Kids, Elizabeth M.Ward., R.D * Modul Pemakanan, IKU 1992

ihsan: http://www.myhealth.gov.my

No comments:

Post a Comment